Sejak kebelakangan ini, masyarakat Malaysia begitu kalut dengan berita terbaru dari NASA yang mengatakan Bumi akan mengalami 3 hari bergelap akibat daripada letusan di matahari. Begitu banyak keratan atau screenshot yang telah dikongsi menerusi FB dan Whatsapp yang menunjukkan berita demikian.
Antara screenshot yang saya sendiri perolehi adalah seperti di bawah:
Kebanyakan yang bertanya kepada saya akan menerima 2 jawapan ringkas seperti di bawah:
- Hoax
- Sila rujuk http://www.falak-online.net/portalfalak/bumi-bergelap-3-hari-satu-penjelasan-ilmiah
Secara amnya, saya menjawab demikian kerana isu 3 hari bergelap ini TELAH PUN MUNCUL pada penghujung tahun 2012 lepas, yang mana pada ketika itu tarikhnya bukanlah 21,22,23 Disember 2014… tetapi 23,24,25 Disember 2012.
Ketika itu, alasannya lagi tidak masuk akal, dan boleh baca sendiri menerusi artikel saya bertajuk Bumi bergelap 3 hari – Satu penjelasan ilmiah
Namun, walaupun tarikhnya berlainan, saya rasakan isu 3 hari bergelap tahun 2014 ini dicedok dari isu ketika tahun 2012, dengan beberapa pengurangan dan penambahan.
Paling jelas sekali ialah sekarang ia dikaitkan pula dengan “solar storm”.
Baiklah, supaya adil, saya tidak akan mengaitkan dengan artikel saya pada tahun 2012 itu, dan menulis artikel yang fresh menjelaskan isu yang terkini.
Mari kita lihat satu per satu ayat ‘berita’ tersebut.
NASA has confirmes that the three days of darkness will take place this year on days 21,22 and 23 December
Apabila saya merujuk kepada keyword NASA, 3 days of darkness menerusi carian Google, didapati sudah begitu banyak berita mengenainya tersebar. Tetapi apa yang menarik di sini ialah kebanyakan artikel berbahasa Inggeris, menyatakan “Six days or darkness”
Enam hari dan bukannya 3 hari.
Dan dikatakan ia bermula pada 16 Disember hingga 22 Disember.
Perbezaan ‘tarikh’ ini pun sudah menyebabkan saya berasa was-was berkenaan screenshot yang disebarkan tadi. Tarikh yang mana satu ‘betul’?
Oleh itu, saya beranggapan, jika tarikh pun tak tepat, apatah lagi poin-poin lain dalam artikel yang tak tepat. Kita tengok ayat seterusnya…
The land will remain during these three days without sun, night ie in total darkness due to a solar storm …
Dikatakan dunia (land) akan bergelap selama 3 hari tanpa matahari.
Baiklah, di sini kita masuk bab sains astronomi sikit.
Matahari merupakan sebuah bintang yang menyala selama berbilion tahun hasil daripada tenaga yang terbebas hasil pertukaran hidrogen ke helium.
Untuk matahari tiba-tiba ‘padam’ selama 3 hari, atom-atom hidrogen itu kenalah ‘tiba-tiba’ hilang selama 3 hari, supaya TIADA tenaga yang akan keluar kerana tiada pertukaran dr hidrogen ke helium. Kemudian’ selepas hari ke-4, atom-atom hidrogen itu akan ‘muncul’ kembali, lalu proses asal tadi disambung semula.
Cuba tenangkan hati, fikir dahulu ayat di atas sebelum menjawab soalan ini dengan ikhlas, “logik ke tidak”??
Kemudian kita lihat kesannya, menurut ayat screenshot di atas, disebabkan oleh “solar storm”.
Baik, kita kena faham bab “solar storm” ini dulu.
Matahari sentiasa mengeluarkan ledakan tenaga yang amat besar setiap SAAT. Jika kita lihat foto-foto matahari menerusi teleskop khas H-Alpha, kita akan dapat lihat bagaimana begitu banyak julangan suar (flare) yang naik dan turun di permukaan matahari.
Cuba lihat video dibawah yang menunjukkan keadaan matahari dalam durasi selama 48 jam.
Walaupun nampak mengerikan, namun itulah tabiat dan perangan matahari. Tanpa limpahan tenaga yang amat kuat ini, Bumi akan kesejukan dan tiada kehidupan dapat hidup. Kita sepatutnya rasa bersyukur kerana Allah SWT telah letakkan kita teramat jauh dari matahari (selamat dari jangkauan suar yang besar ini), tetapi masih dapat menerima manafaat tenaga dan haba daripadanya!
Namun, walaupun matahari sentiasa ‘meletup-meletup’ setiap saat, ia pun sebenarnya ada masa naik dan turunnya. Maksud saya, ada ketika jumlah tenaga yang dihasilkan oleh matahari ini ‘biasa-biasa’ je, dan ada ketikanya ia ‘amat besar dan aktif”.
Naik turun perangai matahari ini dipanggil sebagai Kitaran Solar atau Solar Cycle, yang mana ia berulang setiap 11 tahun.
Maknanya, sejarah kajian astronomi sebelum ini telah pun menunjukkan memang matahari begitu ‘galak dan aktif’ setiap 11 tahun. Paling terdekat matahari berada di puncak ialah pada pertengahan tahun 2013 lepas.
Video di bawah menerangkan berkenaan dengan Solar Max, Sila ambil masa dengar dan faham dulu. Penerangannya agak mudah untuk difahami.
Apa kesannya jika suar matahari ini terlepas ke angkasa?
Jawapannya ialah jika ia (dikenali sebagai Coronal Mass Ejection atau CME) terlepas dan kebetulan menghala ke bumi, Alhamdulillah Bumi kita ini mempunyai perisai yang dipanggil sebagai magnetic fieldatau medan magnet, yang mengunjur dari kutub utara ke kutub selatan.
Medan magnet ini akan membias dan melencong sebarang tenaga melampau dari CME ini ke sekeliling bumi. Jika CME ini kuat, lebihan tenaganya akan melencong kembali ke kutub-kutub bumi, lalu membentuk aurora.
Department of Physics, University of Oslo telah menghasilkan video animasi yang amat jelas menerangkan fenomena aurora hasil daripada letusan CME dari matahari. Sila lihat video di bawah:
Jelas di sini, kejadian solar storm tidak akan mengakibatkan bumi bergelap! Malah, langit akan menjadi lebih cerah pada waktu malam, terutama di kutub-kutub kerana kehadiran aurora!
This is the head of NASA Charles Bolden who made the announcement and asked everyone to remain calm.
Saya cuba cari video “pengumuman” sedemikian tetapi tak jumpa. Yang saya jumpa ialah video (bawah) di mana Charles Bolden membincangkan mengenai pentingnya rakyat Amerika Syarikat mempunyai rancangan kecemasan jika berlaku bencana seperti 9/11 dan seumpamanya. Tak ada lah pula beliau rujuk kepada 3 days or darkness !
Jadi saya ingin tanya kembali kepada yang menyebarkan ‘berita’ di atas, kenapa tidak selidik dulu asal usul sumber berita tersebut?
This will be the product of a solar storm, the largest in the last 50 years for a period of 72 hours.
Merujuk kepada ayat di atas, dikatakan solar storm ini adalah yang terbesar sejak 50 tahun.
Tetapi jika kita rujuk kepada berita mengenai keadaan matahari, untuk Solar Cycle terkini, ia merupakan yang paling lemah sejak 100 tahun!
Paling lemah!
Jadi, kenapa pula ayat itu kata “the largest in the last 50 years” ?
Sila rujuk berita-berita di bawah (Ambil masa baca pautan di bawah):
- Looming weak solar max may herald frosty times
- Sun’s Current Solar Activity Cycle Is Weakest in a Century
- Solar Cycle #24: On Track to be the Weakest in 100 Years
- Solar Mini-Max
- Why Has the Sun Gone So Quiet?
Note that in the reponses of Light Beings to questions Monique Mathieu by his members “From Heaven to Earth”. she wrote: “The three days of darkness will actually take place. This will be an extremely difficult time for humanity”
Ayat terakhir ini agak mengelirukan. Puas saya cari apa dia “Light Beings” dan “Monique Mathieu”, tetapi apa yang saya dapati ialah hanya ayat yang sama di “copy paste” di dalam blog-blog di internet. Tidak ada satu pun yang saya jumpa, yang menerangkan dengan jelas apa yang dimaksudkan ayat di atas”
Malah “Monique Mathieu” itu pun kalau dilihat merujuk kepada BAJU UNTUK KEGUNAAN SPA!!
Jadi, di manakah kredibiliti ayat di atas? Apa kaitannya dengan 3 hari bergelap?
source: science.nasa.gov
Bagi saya ayat yang terakhir ini sebagai PENGUAT HUJAH, yang kononnya semua di atas diambil dari laman web science.nasa.gov
Saya menyeru kepada pembaca sekelian, cubalah klik pautan di atas dan cari artikel yang menyatakan 3 hari bergelap menerusi pautan ‘sumber’ tersebut.
Saya mencari keyword “3 days of darkness” menggunakan paramater carian INI, dan masih TAK JUMPA mana-mana artikel yang merujuk kepada berita demikian.
Oleh itu, saya anggap ini semua berita palsu dan fitnah yang amat jahat, untuk mempermainkan minda manusia (bukan orang Islam aje, satu dunia pun kena tipu).
Itulah sebabnya saya kategorikan berita ini sebagai HOAX.
Malangnya, masih ramai rakyat Malaysia yang masih percaya, dan mahu percaya ianya betul. Dan juga, dalam zaman yang masing-masing berlumba untuk menjadi “yang pertama” menyebarkan berita”, kita sendiri telah berjaya menipu diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling dengan menyebarkan berita-berita seumpama ini.
Lebih malang lagi, terutama untuk umat Islam, kisah 3 Days of Darkness ini merupakan kisah dalam Kitab Injil! Peliknya kenapa kita suka menjadikan kisah dari Injil sebagai hujah? Quran kan ada!
Come on man!
Puas saya terangkan dalam bentuk fakta satu per satu, tapi masih ada yang tidak mahu percaya.
Tak mengapalah jika tak setuju.
Saya hanya menyampaikan hujah ini berdasar ilmu yang Allah SWT dah turunkan kepada saya. Mungkin ada yang saya terlepas pandang. Jika anda ada sumber-sumber SAHIH lain yang boleh dijadikan rujukan, saya alu-alukan.
Apa yang pasti, janganlah sebar berita yang kita sendiri tak pasti kesahihannya. Walaupun kononnya ada sumber “dari NASA”, saya harapkan agar ambil INISIATIF yang periksalah sendiri sumber ‘berita’ tersebut.
Bukankah Allah SWT dah ajar dalam Quran
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Al-Hujuraat: Ayat 6
Mudah-mudahan Allah SWT mengampuni dosa kita semua akibat kelalaian dan kejahilan kita sendiri dan mohon agar terus diberikan hidayah sehingga akhir hayat, InsyaAllah.
Yang baik hanya dari Allah SWT, yang kurang datang dari kelemahan saya sendiri.
Jom jadilah orang yang INGIN BELAJAR BERILMU
0 comments:
Post a Comment