Pages

Cara Mengubah Takdir, Lari Dari Takdir & Allah SWT memberikan kita pilihan

http://www.motivasi-islami.com/wp-content/uploads/2010/03/berdoa.jpg

Cara Mengubah Takdir

Banyak orang malas yang menjadikan takdir sebagai dalih atas kemalasannya. Padahal, takdir itu boleh diubah. Memang, tidak semua takdir boleh diubah. Misalnya, jika kita ditakdirkan sebagai seorang laki-laki, tidak boleh diubah menjadi seorang perempuan. Kita memang tidak boleh mengubah takdir yang sudah terjadi sebab waktu memang diciptakan tidak boleh ke belakang. Yang dimaksud mengubah takdirdisini ialah mengubah takdir dimasa mendatang.

Lalu bagaimana cara kita mengubah takdir? Cara yang benar dan tepat, tentu saja harus bersumber dari Pembuat takdir yang tiada lain Allah SWT melalui Al Quran dan Hadits Nabi saw.

Bagi Anda yang belum tahu, bahawa takdir boleh diubah, silahkan semak hadis berikut:

Hadis dari Imam Turmudzi dan Hakim, diriwayatkan dari Abdullah bin Umar, bahawa Nabi SAW Bersabda : “Barangsiapa hatinya terbuka untuk berdoa, maka pintu-pintu rahmat akan dibukakan untuknya. Tidak ada permohonan yang lebih disenangi oleh Allah daripada permohonan orang yang meminta keselamatan. Sesungguhnya doa bermanfaat bagi sesuatu yang sedang terjadi dan yang belum terjadi. Dan tidak ada yang boleh menolak taqdir kecuali doa, maka berpeganglah wahai hamba Allah pada doa”. (HR Turmudzi dan Hakim)
Cara Mengubah Takdir
Mengubah Takdir Dengan Berdoa.

Allah yang menetapkan takdir kita, maka Allah memiliki kuasa untuk mengubahnya, ertinya takdir baru bagi kita. Mengubah takdir ertinya Allah menggantinya dengan takdir baru. Tetap, Allah yang menetapkan takdir.

Cara pertama ialah dengan berdoa seperti yang dijelaskan pada hadis diatas.

Cara Kedua adalah bersedekah. Rasulullah SAW pernah bersabda : “Silaturrahmi dapat memperpanjang umur dan sedekah dapat merubah taqdir yang mubram” (HR. Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Imam Ahmad)

Cara Ketiga adalah bertasbih. Ada hadis yang diriwayatkan dari Saad Ibnu Abi Waqosh, Rasulullah bersabda :

“Mahukah kalian Aku beritahu sesuatu doa, yang jika kalian memanfaatkan itu ketika ditimpa kesedihan atau bencana, maka Allah akan menghilangkan kesedihan itu? Para sahabat menjawab : “Ya, wahai Rasululullah, Rasul bersabda “Iaitu doa “Dzun-Nun : “LA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINADH-DHOLIMIN” (Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk diantara orang-orang yang zalim”). (H.R. Imam Ahmad, At-Turmudzi dan Al-Hakim).

Cara keempat ialah dengan berselawat ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ubay Ibnu Kaab, bahawa ada seorang lelaki telah mendedikasikan semua pahala selawatnya untuk Rasulullah SAW, maka Rasul berkata kepada orang tersebut : “Jika begitu lenyaplah kesedihanmu, dan dosamu akan diampuni” (H.R Imam Ahmad At-Tabroni)

Jadi, jangan berhenti berdoa dan berusaha. Seburuk mana pun kedudukan masa ini, semuanya masih boleh berubah. Bagaimana pun pahitnya pengalaman kita dimasa lalu, masih boleh berubah. Optimis selalu Anda boleh mengubah takdir Anda menjadi lebih baik.



Tidak sedikit yang berkata: “Dah nak buat macam mana, Allah takdirkan aku jahat begini.”

Mereka merasakan bahawa segala keburukan dan kejahatan serta kesilapan yang telah mereka lakukan, semuanya adalah kerana Allah SWT telah membuatkan mereka melakukannya. Maka dikatakan bahawa Allah yang telah mentakdirkan mereka menjadi jahat dan buruk.

Ini sebenarnya satu sisi pandang yang silap.

Memang, apa yang terjadi kepada kita hari ini, adalah takdir Allah SWT. Jika tidak, tak terjadilah kita seperti hari ini. Namun apa yang perlu kita fahami sebenarnya ialah, apa yang berlaku kepada kita sekarang ini, sama ada baik atau buruk, sebenarnya adalah implikasi dari pilihan kita yang sebelum ini.

Ya, pilihan.

Jika kita perasan, di dalam hidup ini, Allah SWT mengurniakan manusia ruang untuk membuat pilihan.



Lari Dari Takdir

Umar Al-Khattab RA ketika menjadi khalifah pernah ingin pergi melawat ke sebuah tempat. Akhirnya tiba pada beliau bahawa tempat tersebut diserang wabak taun. Lantas Umar membatalkan hajatnya untuk ke sana, kerana risau jika dia turut terkena penyakit tersebut. Seorang sahabat memberikan pertanyaan atas tindakan Umar:

“Apakah engkau hendak mengelak dari takdir wahai Umar?”

Umar menjawab: “Ya, aku lari dari takdir yang satu ini kepada takdir Allah yang satu lagi.”

Jelas di sana pandangan Umar Al-Khattab akan ruang usaha yang terdapat pada diri manusia, iaitu membuat pilihan sesuai dengan pengetahuannya. Bila kita sudah tahu mencuri itu salah, dan ada kemungkinan untuk kita dihukum, atau dipandang buruk oleh masyarakat, kenapa kita memilih untuk mencuri juga? Kemudian bila orang memandang hina kita, mengatakan kita pencuri, tidak lagi mempercayai kita, kita kemudiannya berkata: “Bagaimana, Allah sudah takdirkan aku begini.”

Itu nyata sikap yang tidak bertanggungjawab.

Selagi mana masih wujud ruang untuk membuat pilihan, maka sebenarnya masih ada ruang untuk berusaha dalam memilih takdir yang baik.

“Kita mana tahu takdir kita?” Mungkin ada yang bertanya.

“Ya, kerana kita tidak tahu takdir kitalah, maka kita berusaha untuk yang terbaik. Dan Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-hambaNya yang berusaha!” Itu pula adalah jawapan saya.



Allah SWT memberikan kita pilihan

Kerana itu jika kita perhatikan Allah SWT, Dia sendiri memberikan manusia itu kuasa untuk memilih antara kebaikan dan kefasadan. Lihatlah firman Allah SWT:

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.” Surah Asy-Syams ayat 7-8.

Memang ada bisikan-bisikan untuk membawa kita kepada keburukan, tetapi juga wujud buat kita bisikan-bisikan untuk melaksanakan kebaikan. Di sana kita ada kuasa untuk memilih.

Kuasa untuk memilih ini bukan bermakna jika kita memilih kejahatan, maka Allah akan ‘okay’ dengan kita sebab Allah yang beri kita kuasa memilih. Kuasa memilih adalah supaya kita bertanggungjawab dengan apa yang kita pilih, dan bersedialah untuk berhadapan dengan konsikuensi dari pilihan kita.

Firman Allah SWT:

“Tidak ada paksaan dalam agama, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 256.

“Telah nyata kebenaran dari kesesatan,” di sana kita dapat melihat betapa Allah SWT menggambarkan kepada kita bahawa kita bebas memilih antara kebenaran dan kebatilan, namun antara kebenaran dan kebatilan itu ada bezanya, ianya adalah dua jalan yang berbeza membawa kepada dua pengakhiran yang berbeza.

Dan pengakhiran yang berbeza itu telah diterangkan panjang lebar oleh Allah SWT dalam pelbagai tempat di dalam Al-Quran. Yang baik akan mendapat syurga, yang suka melakukan kejahatan dan kerosakan tempatnya di neraka.

Di sinilah kita perlu melihat betapa besarnya kuasa memilih.

Kita tidak boleh senang-senang menyalahkan Allah SWT. Kita sendiri perlu bertanya apakah pilihan hidup kita? Mengapa kita tidak memilih kebaikan? Mahu memberikan alasan? Apakah kita rasa alasan kita memilih untuk melakukan kerosakan dan kefasadan itu Allah akan terima? Jika ya, silakan!

Tetapi jika kita mula menyedari bahawa kita ada kuasa memilih, dan kuasa memilih itu perlu kita usahakan untuk memilih kebaikan. Maka mulalah kita melihat kembali kepada diri kita.

Saban hari baru Allah kurniakan kepada kita, kita ada peluang untuk memilih sama ada menjadikan hari itu hari yang Allah redhai, atau kita hendak menjemput kemurkaan Allah pada hari tersebut.

Pilihan di tangan kita.



Allah akan membantu orang yang membantu dirinya

Perubahan tidak akan berlaku secara tiba-tiba. Bukan dengan berdoa semata-mata, tetapi tindakan tidak menggambarkan kesungguhan doa dan hajat tersebut.

Pilihan perlu dilakukan, dan tidak cukup sekadar berkata: “Saya pilih untuk berubah, saya pilih untuk jadi lebih baik.” Tidak.

Ia berhajat kepada tindakan. Langkahan. Pergerakan. Bukan semata-mata bicara pada mulut dan hajat pada hati. Itu semua penting, bicara pada mulut dan hajat pada hati untuk memperkasakan keinginan kita kepada kebaikan. Tetapi itu sahaja tidak akan mencukupi. Kita perlu bergerak.

Allah SWT berfirman:

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Tanpa bergerak melaksanakan perubahan, tanpa kita memilih untuk berubah, kita takkan mendapat bantuan daripada Allah SWT untuk berubah.

Ya, dapat berubah pun adalah takdir Allah SWT juga bukan?

Sejauh manakah kita benar-benar berhajat kepada takdir tersebut hingga kita berdoa kepada Allah SWT bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya? Sejauh manakah kita benar-benar berhajat kepada takdir tersebut sehingga kita bergerak untuk mendapatkannya?

Di sinilah titik muhasabah kita.

Dan Allah mengingatkan pada ayat yang sama, jangan sampai masanya apabila Allah SWT menimpakan kepada kita azab atau bala bencana dek kerana sikap diri kita yang sukakan kerosakan dan kefasadan. Kerana pada ketika itu, tiada siapa dapat menyelamatkan kita dari kemurkaanNya.

Muhasabah.

0 comments:

Post a Comment

 

Connect with us on Facebook :)

By. HackingUniversity Get this Widget :)